Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Khatib hari ini mengingatkan bahawa seluruh umat Islam tidak lama lagi akan meraikan Hari Raya Korban pada bulan Zulhijah ini.
Menurutnya lagi pada khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Hikmah Ibadat Korban’, umat Islam pada hari itu disunatkan untuk mendirikan sembahyang Aidiladha dan bagi yang berkemampuan disunatkan untuk melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, kerbau, lembu dan kambing pada waktu tertentu.
“Ada pun maksud waktu tertentu untuk menyembelih ibadah korban itu selepas naik matahari Hari Raya Aidiladha iaitu setelah selesai sembahyang Sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah selepas terbenam matahari, akhir hari tasyrik iaitu hari ke 13 Zulhijah,” ujar khatib.
Jika ibadah korban itu dilakukan sebelum waktu tersebut, tidaklah ia dikira ibadah korban dan hukum melakukan ibadah korban itu adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan untuk melaksanakannya.
Maksud berkemampuan, jelas khatib, mereka yang mampu untuk berkorban setelah ada lebihan daripada keperluannya dari Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik.
“Sunat melakukan korban bagi orang yang mampu dan adalah makruh hukumnya jika tidak melakukannya sedangkan ia mampu melakukan ibadah korban tersebut,” tegas khatib.
Selain itu, jelas khatib, terdapat juga beberapa perkara yang sunat dilakukan bagi orang yang hendak melakukan ibadah korban iaitu apabila sudah masuk 1 Zulhijah, setelah kelihatan anak bulan Zulhijah.
Khatib seterusnya menambah, disunatkan ke atas orang yang hendak berkorban itu supaya tidak mencabut, mengetip, memotong, mengunting, mencukur mana-mana anggota zahir dari tubuh badannya seperti rambut, misai, janggut, kuku dan sebagainya hingga selesai melaksanakan ibadah korbannya dan adalah makruh hukumnya, jika ia mengabaikan tuntutan ini.
Sementara bagi orang yang menunaikan ibadah korban lebih dari seekor binatang korban, hukum makruh memotong rambut, kuku, bulu dari anggota badannya itu berakhir setelah selesai sembelihan pertama binatang korbannya dan afdal bagi orang berkorban untuk tidak memotongnya sehingga selesai semua binatang disembelih.
Menurut khatib, terdapat hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban itu dan ini antaranya ialah dengan menanamkan sifat ikhlas dalam melaksanakan apa juga yang diperintahkan Allah selain menyemai sifat syukur terhadap segala nikmat dan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah.
Di samping itu, mengasuh dan mendidik diri bersikap sabar terhadap apa juga ujian yang diberikan oleh Allah dalam kehidupan dan tidak mengeluh dan tetap menyerah dan bertawakal kepada Allah.
Selain itu, memupuk sikap pemedulian dan prihatin terhadap masyarakat di mana ini jelas dilihat melalui pengagihan daging-daging korban yang menunjukkan sikap pemedulian kepada yang berhak menerimanya khusus kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan.
Khatib seterusnya mengingatkan untuk sama-sama muhasabah diri untuk memanfaatkan kelebihan rezeki yang dikurniakan oleh Allah untuk melaksanakan ibadah korban dan dengan ibadah korban yang dilakukan itu, rezeki semakin bertambah, berkat dan dijauhi daripada musibah dan malapetaka.