HODEIDA, YAMAN, 21 JULAI – Angka kematian akibat serangan Israel ke atas pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak Yaman meningkat kepada enam orang, kata pihak berkuasa kesihatan Houthi pada hari ini, dengan pasukan pemadam kebakaran memerangi
api di pelabuhan itu.
Serangan kelmarin ke atas pelabuhan itu, pintu masuk utama bagi bahan api dan bantuan kemanusiaan kepada Yaman yang dilanda perang, adalah yang pertama diakui oleh Israel di negara termiskin di semenanjung Arab tersebut, kira-kira 2,000 kilometer dari pelabuhan.
Ia membunuh enam orang dan mencede-rakan 83 yang lain, kebanyakannya luka lecur teruk, kata Kementerian Kesihatan yang di-kendalikan pemberontak dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media Houthi. Ia berkata tiga lagi masih hilang.
Terdahulu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata bahawa “tindak balas atas pencerobohan Israel terhadap negara kita sudah pasti akan berlaku dan pada skala besar-besaran.”
Israel berkata ia melakukan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan dron oleh Houthi di Tel Aviv yang membunuh se-orang pada Jumaat.
Lebih banyak operasi terhadap Houthi akan menyusul “jika mereka berani menyerang kami,” kata Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant. – AFP










