Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korban: Syarat-syarat persoalan nazar dan binatang yang hendak dikorbankan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    SIRI SATU

    Hukum asal berkorban adalah sunat mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut, namun jika dinazarkan hukum berkorban itu berubah menjadi wajib. Sesiapa yang bernazar untuk melaksanakan suatu perkara yang berupa ketaatan kepada Allah, maka wajib ke atasnya menunaikan apa yang dinazarkannya itu dan apabila ditunaikannya, maka baginya pahala.
    Berkorban pula merupakan suatu ibadat mendekatkan diri kepada Allah. Dalil dalam perkara ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah mengenai perkara nazar yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah r.a. yang maksudnya:

    “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”.
    (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Lafaz nazar

    Secara ringkas, nazar itu mempunyai lafaz-lafaz tertentu. Oleh yang demikian, adalah sah nazar seseorang itu dengan lafaz, sama ada dengan perkataan ‘nazar’ itu sendiri ataupun dengan mewajibkan sesuatu perkara kebaikan ke atas diri. Oleh itu, tidak sah nazar seseorang itu dengan hanya semata-mata berniat di dalam hati tanpa adanya lafaz. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan. Sebaliknya, sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.

    Begitu juga tidak sah nazar setakat berazam di dalam hati untuk melakukan sesuatu kebajikan atau dengan melafazkan perkataan ‘Aku berazam’.

    Binatang yang kurus, sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya tidak boleh dijadikan binatang korban. – Agensi

    Adapun bagi orang yang tidak boleh bercakap, iaitu orang bisu, bolehlah menggunakan isyarat sahaja ataupun secara bertulis, akan tetapi hendaklah disertai dengan niat.

    Lafaz nazar yang sah untuk berkorban

    Dalam perkara korban, lafaz nazar korban itu sah sama ada dengan lafaz secara hakikat mahupun secara hukum. Antara lafaz nazar yang sah secara hakikat ialah:

    Seseorang berkata terhadap binatang yang dimilikinya: “Demi Allah / Kerana Allah ke atasku menyembelih lembu ini sebagai korban” atau “Ke atasku untuk menyembelih binatang ini sebagai korban”, iaitu tanpa menyebut ‘Demi Allah’.

    Seseorang yang belum memiliki binatang korban, dia bernazar: “Demi Allah, ke atasku (menyembelih) binatang korban” atau “Demi Allah, ke atasku untuk menyembelih seekor kambing” atau “Jika aku memiliki seekor kambing, maka ke atasku berkorban dengannya” atau “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada hari raya Haji nanti”.

    Apabila dia memiliki atau membeli seekor kambing atau binatang yang sah dibuat korban, maka binatang tersebut menjadi binatang korban wajib kerana menunaikan nazarnya.

    Demikian juga hukumnya apabila seseorang bernazar: “Demi Allah, ke atasku (menyembelih) binatang korban.” Kemudian ketika dia membeli atau memiliki binatang korban, lalu dia menentukan seekor binatang dan berkata: “Aku tentukan/pilih unta ini bagi (menunaikan) nazarku.”

    Berbeza hukumnya jika dia berkata: “Jika aku memiliki kerbau itu, maka akan aku jadikannya korban bagi (menunaikan) nazarku”. Dalam hal ini, tidak sah nazarnya untuk berkorban dengan binatang yang ditentukannya itu. Ini kerana pada ketika dia bernazar, dia belum memiliki kerbau tersebut.

    Demikian juga, jika ketika membeli kambing itu ada niat di dalam hatinya untuk menjadikan kambing itu sebagai korban dan tidak dilafazkan niatnya, maka tidaklah kambing itu menjadi korban yang wajib.

    Antara lafaz nazar yang sah secara hukum ialah:

    Seseorang berkata terhadap binatang yang dimilikinya atau setelah membeli binatang korban: “Aku jadikan binatang ini sebagai korban” atau “Ini adalah korban”.

    Seseorang yang apabila ditanya akan hal binatang yang dimilikinya atau binatang yang telah dibelinya “Hendak dibuat apa dengan binatang ini?” Lalu dia menjawab dengan jawapan seumpama: “Ini adalah korban”.

    Dalam perkara ini, ulama memberikan panduan, agar korban sunat seseorang itu tidak jatuh ke dalam korban wajib disebabkan lafaz nazar secara hukum, maka sebaiknya hendaklah dia menjawab seumpama: “Kami hendak menyembelihnya pada hari raya korban.” atau “Inilah korban sunatku”.

    Dengan lafaz nazar secara hakikat dan hukum yang sah seperti di atas, bukan sahaja seseorang itu diwajibkan untuk berkorban kerana menunaikan nazarnya itu, akan tetapi lebih daripada itu, dia diwajibkan berkorban dengan binatang yang telah ditentukannya itu dan tidak boleh selainnya.

    Menurut hukum syarak, apabila dia menentukan atau mengatakan binatang yang dimilikinya itu untuk dijadikannya sebagai korban nazar, maka terlucutlah hak pemilikan individu itu terhadap binatang tersebut serta-merta, sebaik-baik sahaja dia menentukan binatang tersebut (ta’yin).

    Selain itu, tidak harus bagi individu yang bernazar tadi melakukan apa jua bentuk guna-pakai (tasharruf) terhadap binatang korban nazar tersebut. Binatang korban nazar yang telah ditentukan itu tidak boleh sama sekali dijual, dihadiahkan, dijadikan wasiat, digadai, ditukar ganti sama ada dengan yang seumpama binatang tersebut, mahupun dengan yang lebih baik daripada itu, dan perkara selain yang telah disebutkan.

    Waktu menyembelih korban nazar

    Apabila seseorang telah bernazar untuk berkorban atau menentukan bahawa binatang tertentu itu dijadikan korban, maka hendaklah disembelih binatang yang ditentukannya itu pada waktu korban sebagai korban wajib. Diwajibkan ke atasnya menyembelih binatang tersebut pada waktu korban yang terdekat setelah dia bernazar sebagai tunai dan tidak harus baginya untuk menangguh atau melewatkan menyembelih korban wajib itu kepada tahun berikutnya.

    Jika ditangguh-tangguhkan atau dilambatkan, maka dia dihukumkan berdosa. Jika terluput masa tanpa disembelih korban nazar, maka wajib atas yang bernazar itu menyembelih pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu.

    Pembahagian binatang korban wajib

    Daging sembelihan korban nazar itu serupa hukumnya dengan korban wajib. Oleh yang demikian, haram bagi orang yang berkorban nazar memakan daripada daging binatang korban nazarnya, bahkan wajib disedekahkan kesemuanya kepada fakir dan miskin termasuk segala kulit, bulu, tanduk dan seumpamanya.

    Hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin di negeri tempat dia berkorban dan haram dipindah sesuatu daripada daging sembelihan korban nazar ke negeri yang lain. Jika dimakannya daging itu, maka wajib diganti kadar yang dimakannya itu untuk diberikan kepada fakir miskin dan tidak wajib baginya untuk menyembelih semula yang lain.

    Syarat binatang korban: selamat daripada kecacatan (‘Aib)

    Secara ringkas, dalam perkara korban, binatang yang sah dijadikan korban hendaklah daripada binatang ternakan, iaitu unta, lembu (dan jenisnya) dan kambing (dan jenisnya). Kemudian disyaratkan pada binatang ternakan itu hendaklah cukup atau mencapai umur tertentu menurut jenis binatang tertentu.

    Binatang korban itu mestilah sihat, tidak berpenyakit dan selamat daripada kecacatan atau ‘aib yang boleh mengurangkan daging, lemak atau anggotanya yang lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah mengenai perkara ini yang maksudnya:

    “Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya, dan yang sangat kurus.”
    (Hadis riwayat Abu Daud)

    Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa binatang yang tidak boleh dijadikan binatang korban itu ialah:

    Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dijadikan korban.

    Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit, iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.

    Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkannya menjadi kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya, maka ia sah dibuat korban.

    Binatang yang kurus, sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda