RANCHO MIRAGE, AMERIKA SYARIKAT, 31 MAC – Nelly Korda berkata dia telah mempelajari daripada kegagalan ANA Inspiration tahun lalu ketika dia kembali ke kejohanan pertama musim esok dalam usaha untuk melanjutkan minggu cemerlang untuk keluarga sukannya.
Bintang LPGA Tour berusia 22 tahun itu, anak perempuan bekas juara tenis Terbuka Australia Petr Korda, tewas dalam playoff pada ANA September lalu, terlepas satu kejuaraan utama dalam playoff selepas serangan mengejut dari pemain Korea Selatan Lee Mi-rim.
Korda menepiskan rasa kecewanya dan telah memulakan tahun 2021 dengan prestasi menakjubkan, memenangi LPGA Gainbridge pada bulan lalu dan mencatat dua lagi kedudukan 10 teratas.
Ia telah membantu pemain nombor empat dunia dari Florida itu dalam keadaan tenang tatkala dia bersedia untuk bermain di padang sukar Mission Hills Country Club di Rancho Mirage di selatan California minggu ini.
“Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kelemahan di luar musim dan rasa berbaloi segala usaha memberikan hasil memuaskan,” kata Korda semalam apabila ditanya mengenai prestasinya sekarang.
Korda percaya dia telah muncul sebagai pemain lebih kuat daripada pengalaman lampau ketika dia membuat persediaan untuk perlawanan ANA pada minggu ini.
“Saya rasa ramai orang memberikan tekanan kepada diri mereka apabila ia membabitkan kejohanan besar. Saya belajar untuk memberikan pandangan yang sama terhadap setiap kejohanan dan tidak memberikan terlalu banyak tekanan ke atas kejohanan besar.
“Jelasnya anda mahu menang tetapi saya rasa orang amat tertekan dari segi mental apabila mereka memasuki kejohanan besar.” – AFP
