Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Antara Travel & Tours, dengan kerjasama Content Group Jeongmal, kelmarin telah melakar kenangan berharga dengan menganjurkan Seminar Pertukaran Sastera Korea-Brunei bertempat di Restoran I-Lotus.
Seminar berkenaan telah menghimpunkan para penulis dan seniman terkemuka dari Brunei bersama delegasi artis tradisional dan tokoh sastera dari Korea bagi menjayakan hari yang penuh dengan pertukaran budaya yang bermakna sambil berkongsi hasil karya dan pandangan antara satu sama lain.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua 1 Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI), Profesor Dr Ampuan Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.
Turut hadir sebagai tanda sokongan diplomatik yang kukuh antara kedua buah negara ialah Setiausaha Kedua dan Konsul, Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam, Kim Pyungkuk, sekali gus sebagai wakil rasmi Kedutaan Republik Korea; ahli-ahli ASTERAWANI; dan juga pegawai-pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Seminar berkenaan telah dikendalikan oleh Kim Sanock dengan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Operasi, Human & Literature Society, Lee Myung-Jin.
Barisan persembahan seni sastera dan budaya dan juga sesi interaktif yang menonjolkan nilai-nilai bersama sekali gus menyemai semangat kreatif kedua-dua negara turut menjadi penyeri suasana seminar berkenaan.
Dengan penganjuran seminar eksklusif itu, ia juga menandakan sebuah permulaan kerjasama jangka panjang dalam bidang sastera dengan pameran dan acara pertukaran yang dirancang untuk diadakan di Korea pada masa akan datang.