Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea buka galeri pertama khas bagi seni Islam

    SEOUL, 21 NOV – Muzium Kebangsaan Korea akan membuka galeri pertamanya yang dikhususkan untuk kesenian Islam, menandakan langkah penting dalam usaha memperluas pameran budaya globalnya, lapor agensi berita Yonhap.

    Galeri Seni Islam yang terletak di tingkat tiga Balai Pameran Tetap muzium itu dijadual dibuka kepada orang ramai hari ini.

    Bagi meraikan pembukaan itu, muzium menganjurkan pameran bersama dengan Muzium Seni Islam Doha, Qatar, bertajuk Islamic Art: A Journey of Splendor.

    Pameran selama 11 bulan itu memaparkan 83 artifak yang dipinjam dari Doha.

    Sejak Galeri Seni Dunia dilancarkan bagi mengetengahkan pelbagai warisan budaya, Muzium Kebangsaan Korea telah menganjurkan beberapa siri pameran bersama muzium terkemuka dari seluruh dunia.

    Gambar Korean Herald

    Ini merupakan kali pertama muzium itu menampilkan budaya Islam dalam ruang pameran tetap.

    “Disebabkan sukar untuk kami membina koleksi global karya-karya agung, kami mencari kaedah untuk memperkenalkan seni Islam kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi ternama,” kata Pengarah Muzium, You Hong-june, ketika pratinjau pameran berkenaan kelmarin.

    You menggambarkan budaya Islam sebagai ‘dunia seni yang menakjubkan’, sambil menyatakan corak geometri dan khatnya yang kompleks mencerminkan kehalusan serta cita rasa moden.

    Pengarah Muzium Doha, Shaika Nasser Al-Nassr berkata Korea dan Qatar, sudah lama dihubungkan melalui laluan perdagangan bersejarah dari Mediterranean hingga ke Pasifik meskipun jauh secara geografi.

    Beliau berharap pameran itu akan memperdalam hubungan budaya antara kedua-dua negara sambil menonjolkan warisan global seni Islam.

    Pameran berkenaan meliputi kesenian Islam dari abad ke-7 hingga ke-19, dibahagikan kepada tiga segmen: seni keagamaan; pertukaran dan peluasan budaya; serta seni istana dan manuskrip Islam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda