Korea, China dan Jepun mungkin bermesyuarat

SEOUL, 13 OGOS – Korea Selatan, China dan Jepun mungkin mengadakan satu mesyuarat tiga hala antara menteri-menteri luar mereka pada akhir bulan ini, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai Seoul hari ini, meskipun berdepan ketegangan memuncak antara Seoul dan Tokyo berhubung pertikaian diplomatik serta perdagangan.

Jika mesyuarat itu berlangsung di China, berkemungkinan besar Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha dan rakan sejawatnya dari Jepun, Taro Kono akan mengadakan rundingan dua hala, kata pegawai itu, meskipun tiada lagi keputusan mutakhir dicapai berkaitan penganjuran rundingan dua hala atau tiga hala.

Ketiga-tiga negara telah menganjurkan satu pertemuan antara menteri luar masing-masing bagi membincangkan persediaan bagi kemungkinan mengadakan sidang kemuncak tiga hala tahunan pemimpin mereka. Kali terakhir sidang kemuncak itu berlangsung ialah di Tokyo pada Mei tahun lepas.

Ditanya sama ada rundingan antara Kang dan Kono akan turut diadakan meskipun terdapat keperluan untuk satu tempoh bertenang antara Seoul dan Tokyo, pegawai itu berkata pertemuan tersebut, jika berlangsung, akan menjadi satu peluang yang baik bagi meredakan ketegangan dalam hubungan dua hala kedua-dua negara. – Bernama