SEOUL, 10 OKT – Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun telah mengakhiri latihan maritim bersama hari ini yang mensimulasikan pemintasan kapal penyeludup Korea Utara, kata tentera laut Seoul.
Latihan dua hari itu adalah yang pertama dalam tempoh tujuh tahun, ketika ketiga-tiga negara itu meningkatkan kerjasama dalam menghadapi ancaman daripada Pyongyang.
Latihan itu bertujuan meningkatkan “pencegahan dan tindak balas mereka terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Kdari orea Utara baru-baru ini”, kata tentera laut dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa latihan itu merupakan susulan daripada perjanjian yang dimeterai dalam satu sidang pada bulan Ogos yang bertujuan untuk membentuk satu kumpulan bersatu ketika berdepan Korea Utara yang semakin agresif, kata tentera laut.
Mengambil bahagian dalam latihan di perairan pulau Jeju adalah kapal pemusnah yang dilengkapi Aegis Korea Selatan, Yulgok Yi I, kapal pengangkut pesawat AS, USS Ronald Reagan dan kapal pemusnah Jepun, JS Hyuga serta kapal lain.
Kapal induk berkuasa nuklear AS dan kapal lain dari kumpulan serangan tentera lautnya akan mengadakan kunjungan selama lima hari ke bandar pelabuhan selatan Busan akhir minggu ini, kata Kementerian Pertahanan.
Berdepan dengan siri pelancaran peluru berpandu Korea Utara yang mencatatkan rekod, kerajaan konservatif Presiden Yoon Suk Yeol telah berusaha keras untuk memperbaiki hubungan yang tegang dengan Jepun, bekas pemerintah kolonial negara itu.
Pada Ogos, Yoon dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tiga penjuru yang dihoskan oleh Presiden AS, Joe Biden di Camp David, bersetuju dengan rancangan latihan bersama selama beberapa tahun. – AFP


