Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S, AS, Jepun adakan latihan udara

    SEOUL, 22 OKT – Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun menjalankan latihan udara bersama pertama mereka hari ini, kata tentera Seoul.

    Latihan tersebut melibatkan pesawat pengebom AS B-52 yang mampu membawa senjata nuklear, dan ia diadakan semasa Seoul, Washington dan Tokyo meningkatkan kerjasama pertahanan mereka dalam mengha-dapi ancaman peluru berpandu dan nuklear yang semakin meningkat dari Korea Utara.

    Pesawat pengebom AS itu mendarat di pangkalan udara Korea Selatan pada Selasa selepas terbang lintas pada pameran pertahanan terbesar negara itu.

    B-52, yang terbang pada kelajuan subsonik, mampu melakukan perjalanan lebih daripada 8,800 batu tanpa perlu mengisi bahan api, pada ketinggian mencecah 50,000 kaki.

    Latihan tiga hala itu berlangsung di selatan semenanjung Korea, di mana zon pengenalpastian pertahanan udara Seoul dan Tokyo bertindih, menurut Tentera Udara Korea Selatan.

    “Ini adalah kali pertama kuasa udara Korea Selatan, AS dan Jepun menjalankan latihan udara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Latihan itu dirancang “untuk memperluas keupayaan ketiga-tiga negara dalam menghadapi ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat,” tambah kenyataan itu.

    Pyongyang menganggap semua latihan itu sebagai latihan persiapan untuk pencerobohan dan telah memberi amaran berulang kali bahawa ia akan mengambil tindakan yang keras sebagai tindak balas.

    Korea Utara telah membantah penggunaan aset ketenteraan jarak jauh Washington dan pada 2017 mengancam untuk menembak jatuh pesawat pengebom strategik AS walaupun di luar ruang udara Korea Utara. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda