Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S, AS, Jepun akan adakan latihan udara

    SEOUL, 18 OKT – Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun akan mengadakan latihan udara bersepadu hujung minggu ini yang melibatkan pesawat pengebom B-52 yang berkeupayaan senjata nuklear AS, menurut laporan media hari ini.

    Latihan tiga hala pada Ahad akan menjadi yang pertama seumpamanya dijalankan berhampiran Semenanjung Korea, kata sumber tentera yang tidak dinamakan oleh agensi berita Yonhap.

    Seorang pegawai di kementerian pertahanan Seoul enggan mengesahkan laporan itu, tetapi berkata ketiga-tiga buah negara itu memperluaskan latihan bersama untuk menentang ancaman peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

    Pyongyang menganggap semua latihan itu sebagai latihan untuk pencerobohan dan telah berulang kali memberi amaran bahawa ia akan mengambil tindakan yang ‘luar biasa’ sebagai tindak balas.

    “Latihan udara bersama Korea Selatan-AS-Jepun akan terdiri daripada penerbangan dalam formasi dengan pengebom strategik AS, B-52 yang diiringi oleh jet pejuang ketiga-tiga negara,” kata sumber kepada Yonhap.

    Kapal itu mendarat di pangkalan udara Korea Selatan kelmarin selepas pertama kali membuat penerbangan di pameran pertahanan terbesar negara itu.

    Ketibaannya dibuat selepas kunjungan ke pelabuhan minggu lalu oleh kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, USS Ronald Reagan, yang mencetuskan tindak balas marah daripada Pyongyang.

    B-52, yang terbang pada kelajuan subsonik, boleh bergerak lebih daripada 8,800 batu tanpa perlu mengisi bahan api pada ketinggian mencapai 50,000 kaki. – AFP

    Pesawat pengebom strategik B-52H Tentera Udara AS (tengah) terbang dengan jet pejuang F-35A Tentera Udara Korea Selatan semasa latihan udara bersama di Korea Selatan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda