PETALING JAYA, 28 Sept – Juara dua kali, Korea Selatan mara ke suku akhir dengan bergaya selepas menewaskan juara bertahan, Iraq 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Arena Universiti Malaya (UM) hari ini.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu menyaksikan skuad muda Pahlawan Taeguk mengutip sembilan mata setelah mencatat kemenangan ke atas Australia 3-0 sebelum membelasah Afghanistan 7-0 dalam dua perlawanan kumpulan terdahulu.
Pada aksi hari ini, Korea Selatan memecah kebuntuan pada minit ke-44 setelah Kim Ryun Seong memperdaya tiga pemain Iraq sebelum melakukan hantaran yang ditanduk masuk Moon Jun Ho.
Jun Ho kemudian meledak gol kedua peribadinya tiga minit berselang sekali gus menunjukkan jalan keluar kepada Iraq yang sekadar menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan hanya mengumpul tiga mata.
Korea Selatan bakal bertemu naib juara kumpulan C, India pada aksi suku akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Isnin depan.

Mengiringi Korea Selatan adalah Australia yang menamatkan saingan Kumpulan D selaku naib juara selepas membenam Afghanistan 4-0 di Stadium MBPJ.
Australia yang masih segar dengan kejayaan menundukkan Iraq 2-1 pada aksi kedua memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului seawal minit kelapan hasil jaringan Joseph Roddy selepas Esmatullah Kazimi gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya Afghanistan.
Noah Botic dan Roddy masing-masing memastikan Australia selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi gol pada minit ke-26 dan minit ke-45.
Bersambung babak kedua, Australia yang selesa mendahului mengurangkan tempo permainan mereka sekali gus menyaksikan Afghanistan menguasai permainan, namun menemui jalan buntu menjaringkan gol. – Bernama