Thursday, October 10, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S bantu syarikat kosmetik perluas kehadiran dalam pasaran ASEAN

    SEOUL, 10 Jan – Kerajaan Korea Selatan akan membantu pengeluar kosmetik tempatan untuk memperluas kehadiran mereka dalam pasaran Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-ubatan negara itu hari ini.

    Menteri berkenaan, Ryu Young-jin, berkata pihaknya akan memperluas program pendidikan untuk pengeluar kosmetik tempatan, yang meliputi topik seperti prosedur kastam dan pendaftaran produk.

    Kenyataan itu dibuat semasa pertemuan antara Ryu, pegawai-pegawai kementerian dan ketua-ketua pengeluar kosmetik yang terkemuka.

    “Kementerian akan terus berkomunikasi dengan syarikat alat solek untuk mempromosi pembangunan lestari industri itu,” kata Ryu.

    Pengeluar kosmetik Korea Selatan telah berusaha menembusi lebih banyak pasaran ASEAN seperti Vietnam dan Thailand, dalam usaha mengimbangi kemerosotan pada tahun lepas.

    Industri kosmetik Korea Selatan menerima tamparan hebat selepas China bertindak balas terhadap keputusan Seoul menggunakan perisai pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat yang kontroversi.

    Beijing menganggap penggunaan perisai itu sebagai satu ancaman keselamatan.

    Langkah itu telah memberi kesan kepada pengeluar dan peruncit kosmetik yang amat bergantung kepada pelancong China dari segi jualan produk.

    “Pendidikan pada masa lalu telah memfokuskan kepada pasaran China. Bagaimanapun, kementerian akan memperluas program latihan yang relevan dengan menyasarkan pasaran ASEAN selepas mendengar pendapat mereka yang terlibat dalam industri ini,” kata seorang pegawai kementerian yang bertanggungjawab bagi program itu, Lee Dong-hee. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda