Korea S bersiap sedia lancar program vaksinasi

SEOUL, KOREA SELATAN, 24 FEB – Pakar penyakit berjangkit terkemuka di Korea Selatan telah memperingatkan bahawa vaksin tidak akan menghentikan wabak koronavirus dengan cepat ketika negara itu bersedia untuk memberikan vaksinasi pertamanya minggu ini.

Jeong Eun-kyeong, pengarah Badan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, berkata dalam taklimat hari ini bahawa ia akan memakan masa yang ‘sangat lama’ sebelum kempen vaksinasi akhirnya dapat mengawal virus.

Negara itu kini bersiap sedia untuk memvaksinasi lebih daripada 70 peratus penduduknya sehingga bulan November. Tetapi harapan agar keadaan kembali pulih dengan penduduk tidak lagi perlu memakai penutup mulut dan hidung adalah sesuatu yang mungkin tidak akan berlaku tahun ini, memandangkan pelbagai faktor termasuk penyebaran varian virus yang semakin meningkat, kata Choi Won Suk, seorang profesor penyakit berjangkit di Hospital Universiti Korea Ansan yang menyertai taklimat tersebut bersama Jeong.

“Kami bimbang orang ramai akan mengurangkan kewaspadaan terhadap jangkitan ketika vaksinasi bermula, sekali gus dikhuatiri akan mencetuskan gelombang virus yang lebih besar,” kata Jeong.

Korea Selatan hari ini mula menerima vaksin dos pertama di bandar selatan Andong, di mana syarikat farmasi tempatan SK Bioscience mengeluarkan vaksin yang dikembangkan oleh AstraZeneca dan University of Oxford. – AP

Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung ketika melewati papan sepanduk yang menunjukkan langkah berjaga-jaga terhadap koronavirus di Goyang, Korea Selatan, kelmarin. – AP