Saturday, February 8, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S, Brazil berentap sebelum Piala Dunia 2022

    SEOUL, 5 MEI – Korea Selatan akan menjadi tuan rumah kepada pasukan ranking teratas Brazil dalam perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia tahun ini, menurut pengumuman persatuan bola sepak negara itu kelmarin.

    Pasukan kebangsaan yang diketuai oleh Son Heung-min dari Tottenham Hotspur, akan menentang Brazil pada 2 Jun di Seoul sebelum bertemu Chile dan Paraguay pada 6 dan 10 Jun.

    Siri perlawanan pesahabatan yang dirancang dengan pasukan Amerika Selatan akan memberi Korea Selatan “peluang terbaik untuk menilai kekuatan dan kelemahan mereka”, kata Persatuan Bola Sepak Korea dalam satu kenyataan.

    Juara dunia lima kali, Brazil adalah satu-satunya pasukan yang layak ke semua Piala Dunia dan boleh membariskan pemain terbaik dunia seperti bintang Paris Saint-Germain, Neymar dan Roberto Firmino dari Liverpool.

    Korea Selatan yang menduduki tangga ke-29 ranking FIFA layak ke Piala Dunia ke-10 berturut-turut selepas menduduki tempat kedua di belakang Iran dalam Kumpulan A pusingan akhir kelayakan Asia.

    Mereka akan menentang Portugal, Uruguay dan Ghana dalam Kumpulan H apabila Piala Dunia bermula di Qatar November nanti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda