SEOUL, 18 APRIL – Kerajaan Korea Selatan pada Jumaat mendedahkan butiran cadangan belanjawan tambahan sebanyak 12 trilion won (AS$8.59 bilion) bagi menyokong industri utama di tengah ketidaktentuan perdagangan susulan ketegangan tarif yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Yonhap.
Daripada jumlah itu, 3.2 trilion won diperuntukkan bagi usaha pencegahan dan pemulihan bencana ekoran kejadian kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu baru-baru ini.
Menurut Kementerian Kewangan, belanjawan tambahan yang dicadangkan itu juga merangkumi 4.4 trilion won bagi menangani risiko perdagangan dan menyokong industri berteknologi tinggi, serta 4.3 trilion won untuk meringankan beban sara hidup rakyat.
Pada awalnya, kerajaan mencadangkan belanjawan tambahan sebanyak 10 trilion won bagi menangani isu-isu yang dianggap paling mendesak, termasuk usaha pemulihan selepas kebakaran besar di wilayah tenggara, namun kemudian meningkatkan jumlah itu.
Ini merupakan belanjawan tambahan pertama yang dicadangkan sejak Mei 2022, apabila kerajaan memperuntukkan 62 trilion won bagi membantu peniaga kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Cadangan belanjawan itu turut muncul di tengah-tengah perang perdagangan global yang memuncak, susulan dasar tarif baharu AS, termasuk cukai 25 peratus terhadap Korea Selatan.
Gabenor Bank of Korea, Rhee Chang-yong sebelum ini berkata, pelaksanaan belanjawan tambahan sebanyak 12 trilion won dijangka menyumbang peningkatan 0.1 mata peratus kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
Bagi respons bencana, kerajaan bercadang membelanjakan 1.4 trilion won untuk menyokong pemulihan kawasan yang terjejas teruk akibat kebakaran besar, selain 1.7 trilion won bagi memperkukuh keupayaan tindak balas bencana negara melalui pembelian enam helikopter bomba baharu dan 30 kamera pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan awal kebakaran.

Sebanyak 200 bilion won pula diperuntukkan demi meningkatkan keselamatan lapangan terbang dan kemudahan kumbahan usang untuk mencegah kejadian tanah runtuh dan lubang benam (sinkhole).
Untuk menyokong industri, kerajaan merancang menyalurkan 1.8 trilion won bagi membantu syarikat yang dijangka terjejas akibat tarif AS dan 200 bilion won untuk menstabilkan rantaian bekalan mineral kritikal.
Sebanyak 1.8 trilion won akan digunakan untuk memperkasa ekosistem AI tempatan dengan memperoleh 10,000 unit pemproses grafik berprestasi tinggi (GPU) menjelang 2025, menyokong pembangunan model bahasa berskala besar bertaraf global dan melatih bakat dalam bidang itu.
Selain itu, 500 bilion won diperuntukkan untuk meningkatkan daya saing industri semikonduktor dan sektor strategik lain.
Dalam usaha membantu rakyat menghadapi kelembapan ekonomi, kerajaan juga merancang membelanjakan 2.6 trilion won untuk meringankan beban kewangan perniagaan kecil dan 1.6 trilion won bagi membantu peruncit kecil-kecilan meningkatkan jualan.
Kerajaan akan mengemukakan rang undang-undang belanjawan tambahan kepada Parlimen pada Selasa.
Menurut kementerian, 4.1 trilion won akan dibiayai melalui sumber sedia ada termasuk dana simpanan, manakala baki 8.1 trilion won akan dibiayai menerusi terbitan bon kerajaan.
Dengan pelaksanaan belanjawan ini, hutang negara dijangka meningkat sebanyak 6 trilion won kepada 127.9 trilion won, iaitu bersamaan 48.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, menurut kementerian itu. – Bernama