SEOUL, KOREA SELATAN, 3 APRIL – Tentera laut Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun hari ini memulakan latihan antikapal selam pertama dalam enam bulan untuk merangsang penyelarasan mereka ke atas ancaman peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat, kata tentera Korea Selatan.
Latihan dua hari itu diadakan ketika pelancaran peluru peledak nuklear oleh Korea Utara mencetuskan kebimbangan negara itu mungkin menjalankan ujian nuklear pertamanya sejak 2017.
Latihan tentera di perairan antarabangsa di luar pulau selatan Korea Selatan, Jeju itu membabitkan kapal induk penyerang nuklear, USS Nimitz dan kapal pembinasa tentera laut dari Korea Selatan, AS dan Jepun, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Latihan diatur untuk mempertingkat keupayaan ketiga-tiga negara bertujuan bertindak balas terhadap ancaman keselamatan dalam air yang ditimbulkan oleh peluru berpandu balistik yang dilancarkan kapal selam Korea Utara dan aset lain, menurut kenyataan.
Pegawai pertahanan Korea Selatan berkata ketiga-tiga negara akan mengesan dan menjejaki kenderaan dalam air Korea Selatan dan AS yang menyamar sebagai kapal selam musuh dan aset lain.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan juga memaklumkan latihan minggu ini akan menggunakan sasaran perang gerila antikapal selam yang bergerak bagi menambah baik keupayaan untuk mengesan, menjejak dan memusnahkan ancaman dalam air oleh Korea Utara.
Kali terakhir ketiga-tiga negara itu menjalankan latihan antikapal selam trilateral adalah pada September tahun lalu. – AP