SEOUL, 28 MEI – Korea Selatan hari ini mengenakan semula siri langkah penjarakan sosial koronavirus yang dilonggarkannya awal bulan ini, ketika kluster-kluster baharu mengancam untuk mencabar kejayaannya dalam membendung pandemik.
Negara itu sebelum ini dijadikan contoh global dalam mencegah penularan COVID-19 namun kini melaporkan peningkatan tertinggi jangkitan baharu dalam masa hampir dua bulan selepas kehidupan kembali normal.
Kes baharu itu – kebanyakannya berpusat di kawasan metropolitan Seoul tempat separuh dari penduduk tinggal – menyebabkan para pegawai mengukuhkan lagi pelaksanaan peraturan penjarakan sosial yang dilonggarkan pada 6 Mei.
Muzium, taman dan galeri kesenian akan ditutup semula bermula Jumaat selama dua minggu, kata menteri kesihatan, Park Neung-hoo, sementara syarikat-syarikat menggesa untuk memperkenalkan semula waktu bekerja fleksibel, dengan langkah lain.
“Kami telah memutuskan untuk memperkukuhkan semua langkah kuarantin di kawasan metropolitan selama dua minggu bermula esok hingga 14 Jun,” katanya.

Penduduk juga dinasihatkan untuk mengelak perhimpunan sosial atau pergi ke tempat sesak – termasuk restoran dan kelab – sementara kemudahan tempat beribadat juga diminta untuk mengekalkan langkah waspada dan kuarantin.
Bagaimanapun, tidak ada penangguhan baharu bagi fasa pembukaan semula sekolah yang pada masa ini sedang dilaksanakan.
“Dua minggu akan datang adalah penting untuk mencegah jangkitan di kawasan metropolitan,” kata Park, menambah: “Kalau tidak, kita akan terpaksa kembali kepada penjarakan sosial jika kita gagal.”
Menteri Kesihatan berkata kerajaan akan terpaksa mengenakan semula kempen penjarakan sosial jika negara menyaksikan lebih 50 kes baharu dalam masa kira-kira tujuh hari berturut-turut.
Para pegawai mengumumkan 79 kes baharu hari ini – membawa jumlah keseluruhan kepada 11,344 – yang tertinggi sejak 81 kes diumumkan pada 5 April. – AFP