Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S lancar respons habis-habisan

    SEOUL, 1 MAC – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata hari ini kerajaan telah melancarkan ‘respons habis-habisan’ untuk membendung koronavirus baharu ketika negara itu menambah 586 kes lagi, membawa jumlahnya sekitar 3,736.

    Korea Selatan mempunyai jumlah kes terbesar di dunia di luar China, selepas ia menyaksikan pertambahan pantas dalam bilangan kes koronavirus beberapa hari kebelakangan.

    Puluhan acara telah dibatalkan atau ditangguhkan berhubung jangkitan itu, sementara bank pusat negara telah memberi amaran pertumbuhan negatif dalam suku pertama bagi ekonomi ke-12 terbesar di dunia itu, memetik yang epidemik itu akan menjejaskan penggunaan dan eksport.

    “Kerajaan kini telah melancarkan tindak balas habis-habisan selepas meningkatkan amaran krisis itu kepada peringkat tertinggi,” kata Moon pada acara Hari Pergerakan Kemerdekaan.

    “Kita akan dapat mengatasi wabak COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi melemah,” tambahnya.

    Samsung Electronics menangguhkan operasi di kilang telefon pintar domestiknya di Gumi – 200km tenggara Seoul – kelmarin buat kali kedua dalam masa seminggu, selepas kakitangan ketiga diuji positif virus terbabit.

    Syarikat gergasi auto, Hyundai Motor juga menghentikan operasi di salah sebuah kilang Ulsan selepas kakitangan diuji positif koronavirus.

    Konsert bintang hebat K-pop, BTS dan Kejohanan Tenis Sedunia juga antara acara yang dibatalkan, sementara liga sukan telah ditangguhkan musimnya untuk membendung virus itu.

    Bintang K-pop Chung Ha telah dikuarantin apabila seorang anggota kakitangannya diuji positif selepas mengunjungi Itali bulan lalu, lapor agensi berita Yonhap. Penyanyi itu diuji negatif. – AFP

    Tentera Korea Selatan memakai alat pelindung disinfektan sebagai langkah berjaga-jaga ke atas penularan COVID-19 di stesen landasan kereta api Dongdaegu pada 29 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda