SEOUL, 28 OGOS – Korea Selatan meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi melarang penggunaan telefon bimbit di bilik darjah sekolah di seluruh negara, umum pegawai hari ini, sekali gus menyertai beberapa negara lain yang mengambil langkah mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.
Sebagai salah sebuah negara paling maju dari segi capaian internet, Korea Selatan sejak kebelakangan ini memperketat peraturan berhubung peranti elektronik di sekolah berikutan kebimbangan terhadap ketagihan telefon pintar dalam kalangan pelajar.
Menurut jurucakap Perhimpunan Kebangsaan kepada AFP, RUU itu melarang penggunaan peranti pintar termasuk telefon bimbit di bilik darjah diluluskan kelmarin dan akan berkuat kuasa Mac tahun depan.
Langkah tersebut menjadikan Korea Selatan negara terbaharu mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar, selepas Australia dan Belanda melaksanakan peraturan sama.
Kementerian Pendidikan Seoul dalam kenyataannya berkata undang-undang itu hanya membenarkan penggunaan telefon pintar di bilik darjah apabila diperlukan sebagai alat bantuan untuk pelajar berkeperluan khas atau tujuan pendidikan.

Peraturan itu turut menyediakan asas undang-undang bagi “mengehadkan pemilikan dan penggunaan peranti pintar untuk melindungi hak pelajar dalam pembelajaran serta menyokong tugasan guru,” menurut kenyataan itu lagi.
Ahli Parlimen termasuk anggota parti pembangkang People Power Party, Cho Jung-hun, yang membentangkan RUU itu, berkata isu berkenaan telah lama menjadi ‘perdebatan hangat kerana kebimbangan terhadap pencabulan hak asasi manusia’.
Namun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Korea baru-baru ini menukar pendiriannya dengan menyatakan had penggunaan telefon bagi tujuan pendidikan tidak melanggar hak asasi memandangkan kesan negatifnya terhadap pembelajaran serta kesejahteraan emosi pelajar.
Sehubungan itu, penggubalan undang-undang berkenaan diperlukan bagi mengurangkan konflik sosial “dengan jelas menetapkan peraturan mengenai penggunaan peranti pintar di sekolah,” menurut dokumen pembentangan RUU itu. – AFP

