Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S larang jual kopi di sekolah

    SEOUL, 31 Ogos – Para pelajar dan guru-guru di Korea Selatan perlu mencari alternatif baharu untuk berjaga sepanjang hari di sekolah, selepas kerajaan hari ini berkata ia akan mengharamkan penjualan kopi di sekolah-sekolah.

    Penjualan minuman berkafein yang tinggi kepada para pelajar di sekolah memang telah diharamkan sejak tahun 2013 lagi, namun dengan mesin layan diri, penjualan kopi masih tersedia bagi guru-guru. Manakala, para pelajar dapat melanggar peraturan itu dan mendapatkan kopi dari mesin tersebut.

    Kini kerajaan mahu menolak sebarang kemungkinan pelajar membeli minuman berkafein tinggi di kampus, kata seorang jurucakap dari Kementerian Keselamatan Makanan dan Perubatan, sambil memberi amaran bahawa pelajar telah mengambil minuman berkafein untuk terus terjaga, tidur lewat dan membuat persiapan bagi peperiksaan.

    Di bawah tindakan yang akan berkuat kuasa bermula 14 September ini, jualan kopi akan dilarang sepenuhnya di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi.

    “Penjualan kopi ditiadakan dari kafeteria dan mesin layan diri yang diletakkan di sekolah,” jurucakap itu memberitahu AFP.

    Akhbar Korea Selatan, Chosun Ilbo berkata pelajar cenderung menggunakan ‘minuman tenaga’ dan kopi yang mengandungi susu untuk berjaga tengah malam semasa waktu peperiksaan.

    Kementerian itu juga memberi amaran tentang kesan pengambilan kopi yang berlebihan terhadap kesihatan, mengatakan ia menyebabkan rasa mual, degupan jantung yang tidak teratur dan gangguan tidur.

    Menurut Persatuan Perdagangan Antarabangsa Korea (KITA), Korea Selatan adalah pengimport kopi ketujuh terbesar di dunia dengan pengimportan bernilai AS$700 juta pada tahun 2017. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda