Seoul, 21 DIS – Mahkamah tertinggi Korea Selatan hari ini telah mengekalkan keputusan yang memerintahkan syarikat Jepun untuk membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa di zaman Perang Korea, walaupun Seoul telah bersetuju untuk membayarnya.
Hubungan antara kedua-dua sekutu Amerika Syarikat itu telah lama diuji kerana kenangan pahit pendudukan kejam Jepun di semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945.
Walau bagaimanapun, hubungan telah bertambah baik apabila kerajaan Konservatif Presiden Yoon Suk Yeol, telah berusaha untuk menguburkan sejarah itu dalam menghadapi ancaman ketenteraan yang semakin meningkat dari Korea Utara secara bersama-sama dengan Jepun.
Kira-kira 780,000 warga Korea telah ditugaskan oleh Jepun menjadi buruh paksa semasa perang, menurut data dari Seoul, tidak termasuk wanita yang dipaksa menjadi perhambaan seksual oleh tentera Jepun.
Mahkamah Agung Korea Selatan telah menolak rayuan dan mengekalkan dua keputusan mahkamah rendah, yang mengeluarkan perintah pampasan terhadap Mitsubishi Heavy Industries dan Nippon Steel Jepun.
Mitsubishi diperintahkan untuk membayar pampasan kepada tiga orang mangsa Korea Selatan dengan jumlah antara 100 juta hingga 150 juta won, manakala Nippon Steel diarah memberikan 100 juta won setiap seorang kepada tujuh orang mangsa.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi, berkata Tokyo telah membuat bantahan terhadap keputusan mahkamah itu.
Bagaimanapun, Hayashi turut merujuk kepada pengumuman oleh kerajaan di Seoul pada Mac mana-mana plaintif yang memenangi tuntutan pampasan sedemikian akan dibayar daripada dana yang disokong Korea Selatan dan bukannya oleh syarikat Jepun. – AFP


