Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S mendakwa bekas presiden Yoon bantu musuh

    SEOUL, 10 NOV – Pendakwa raya Korea Selatan mendakwa bekas presiden Yoon Suk Yeol hari ini atas tuduhan baharu membantu musuh dengan dakwaan bahawa dia arahkan penerbangan dron ke atas Korea Utara sebagai sebab untuk isytiharkan undang-undang tentera.

    Korea Utara berkata tahun lalu ia telah ‘membuktikan’ bahawa Korea Selatan menerbangkan dron untuk menjatuhkan risalah propaganda ke atas ibu kotanya Pyongyang, satu tindakan yang belum disahkan oleh tentera Seoul.

    Pendakwa raya negeri membuka siasatan khas tahun ini untuk memeriksa sama ada penghantaran dron itu merupakan percubaan haram oleh Yoon untuk memprovokasi Korea Utara dan menggunakan reaksinya sebagai alasan untuk mengisytiharkan pemerintahan tentera.

    Pendakwa raya, Park Ji-young memberitahu media hari ini bahawa pasukan peguam khas telah, “memfailkan tuduhan memberi manfaat kepada musuh secara umum dan penyalahgunaan kuasa” terhadap bekas presiden itu.

    Yoon dan yang lain, “berkomplot untuk mewujudkan keadaan yang akan membenarkan pengisytiharan undang-undang tentera darurat, sekali gus meningkatkan risiko konfrontasi bersenjata antara Korea dan merosakkan kepentingan tentera awam,” kata Park.

    Beliau menambah bahawa bukti telah ditemui dalam memo yang ditulis oleh bekas komander perisikan balas Yoon pada Oktober tahun lepas, yang mendesak untuk, “wujudkan situasi yang tidak stabil atau merebut peluang yang timbul”.

    Memo itu menyatakan bahawa tentera harus menyasarkan tempat-tempat, “yang mesti membuatkan mereka (Utara) merasa marah supaya mereka bertindak balas seperti di Pyongyang” atau bandar pesisir utama Wonsan.

    Seoul dan Pyongyang secara teknikalnya kekal berperang sejak Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

    Yoon menjerumuskan Korea Selatan ke dalam krisis politik apabila dia cuba tumbangkan pemerintahan awam pada Disember tahun lepas apabila menghantar askar bersenjata ke parlimen semasa cuba menghalang penggubal undang-undang daripada mengundi menolak deklarasi undang-undang tenteranya.

    Usaha itu gagal, dan Yoon akhirnya ditahan pada Januari, menjadi presiden pertama Korea Selatan yang ditahan.

    Dia telah dilucutkan daripada jawatannya pada April, dan digantikan dengan Lee Jae Myung dalam pilihan raya umum pada bulan Jun. Yoon masih dibicarakan atas sebab memberontak dan kesalahan lain yang berkaitan dengan deklarasi undang-undang tentera. – AFP

    Yoon Suk Yeol semasa menghadiri perbicaraan pemecatannya di Mahkamah Perlembagaan di Seoul pada Februari 2025. Beliau dituduh bantu musuh. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda