Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S meterai perjanjian penerbangan tentera dengan M’sia

    SEOUL, 21 OKT – Korea Selatan dan Malaysia hari ini menandatangani perjanjian untuk saling mengiktiraf pensijilan kelayakan terbang atau ‘airworthiness certification’ bagi pesawat tentera masing-masing, menurut agensi perolehan pertahanan negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap. Perjanjian itu merupakan yang pertama seumpamanya antara Korea Selatan dengan negara Asia.

    Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan mengiktiraf pensijilan kelayakan terbang pesawat tentera buatan tempatan masing-masing, menurut Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA). Pensijilan itu merupakan ukuran penting bagi menentukan kesesuaian sesuatu pesawat untuk penerbangan selamat.

    Korea Selatan akan melaksanakan pensijilan bagi 18 pesawat pejuang ringan FA-50 yang akan dibekalkan kepada Malaysia, menurut agensi itu lagi.

    “Menerusi perjanjian pengiktirafan bersama ini, kami menjangkakan eksport pesawat buatan tempatan ke negara-negara Asia dapat diperluas, selain memperkukuh kemajuan industri penerbangan domestik melalui kerjasama industri pertahanan,” kata Menteri DAPA, Seok Jong-gun.

    DAPA memaklumkan bahawa agensi itu bercadang menandatangani lebih banyak perjanjian seumpama ini dengan negara-negara di Eropah, Asia serta Amerika Tengah dan Selatan.

    Dengan termeterainya perjanjian terbaharu ini, Korea Selatan kini mempunyai lapan perjanjian pengiktirafan bersama, termasuk dengan Amerika Syarikat, Poland dan Sepanyol. – Bernama/Yonhap

    Pesawat FA-50 yang dibuat oleh Korea Aerospace Industries. – GAMBAR DARI REPUBLIC OF KOREA AIR FORCE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda