Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S perbaharui usaha sertai CPTPP, kurangkan ketidaktentuan perdagangan

    SEOUL, 3 SEPT – Korea Selatan akan memulakan semula kajian strategiknya untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), sebuah pakatan perdagangan pelbagai hala yang diterajui Jepun, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pakatan ekonomi di tengah peningkatan perlindungan global, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga hari ini, lapor agensi berita Yonhap.

    “Kerajaan akan memperbaharui pertimba-ngannya untuk menyertai CPTPP bagi mewujudkan rangkaian pakatan ekonomi dengan negara-negara sehaluan,” menurut kementerian itu.

    Pelan itu diumumkan sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan yang bertujuan mengurangkan kesan skim tarif besar-besaran pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

    CPTPP merupakan perjanjian perdagangan utama Indo-Pasifik yang dianggotai 12 negara termasuk Jepun, Mexico, Australia, Kanada dan Vietnam, dengan gabungan nilai perdagangan global sekitar 15.2 peratus pada 2019.

    Pada 2022, kerajaan Korea Selatan memutuskan untuk mengusahakan kemasukan ke dalam CPTPP, namun gagal menghantar permohonan rasmi akibat tentangan daripada sektor pertanian dan perikanan serta hubungan yang tegang dengan Jepun.

    “Sejak itu, situasi telah banyak berubah jadi kami cuba menyusun semula justifikasi (untuk menyertai CPTPP) dan berunding dengan negara anggota,” kata seorang pegawai kementerian yang enggan dikenali. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda