Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S secara tentatif tetapkan 3 Jun pilih presiden

    SEOUL, 7 APRIL – Kerajaan Korea Selatan secara tentatif memutuskan untuk mengadakan pilihan raya presiden pada 3 Jun untuk memilih pengganti bekas Presiden Yoon Suk Yeol, dengan tarikh itu dijangka dimuktamadkan pada mesyuarat Kabinet minggu ini.

    Seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu agensi berita Yonhap bahawa Pemangku Presiden Han Duck Soo dijangka memuktamadkan tarikh pilihan raya itu semasa mesyuarat Kabinet Selasa ini.

    “Memandangkan kepentingan perkara itu dan pertimbangan untuk menetapkan hari pilihan raya sebagai cuti umum khas, keputusan itu akan diluluskan semasa mesyuarat Kabinet,” kata pegawai itu.

    Pilihan raya presiden secara sah dikehendaki diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Yoon daripada jawatan pada Jumaat lepas berhubung percubaannya melaksanakan undang-undang tentera yang gagal.

    Sekiranya jadual 3 Jun disahkan, bakal calon mesti mendaftar sebelum 11 Mei, dan tempoh kempen rasmi akan bermula pada 12 Mei.

    Di bawah undang-undang pilihan raya, mana-mana penjawat awam yang berhasrat untuk bertanding jawatan presiden mesti meletakkan jawatan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pilihan raya, menjadikan 4 Mei tarikh akhir untuk peletakan jawatan tersebut.

    Presiden baharu yang dipilih akan terus memegang jawatan sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan tanpa perlu membentuk pasukan peralihan kuasa. – Bernama

    Para pembantah semasa berkumpul di luar Istana Gyeongbokgung pada 5 April. Kerajaan Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya presiden pada 3 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda