Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Korea S seru sokongan antarabangsa

    SEOUL, 24 NOV – Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong-sup meminta sokongan antarabangsa untuk mendorong Korea Utara meninggalkan program nuklearnya dan kembali ke meja rundingan , menurut kementeriannya hari ini.

    Lee membuat rayuan itu pada sesi penting Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan-Plus kesembilan (ADMM-Plus) ASEAN di Siem Reap, Kemboja kelmarin lapor agensi berita Yonhap.

    Mesyuarat itu dihadiri pegawai pertahanan tertinggi negara anggota ASEAN dan lain-lain termasuk Amerika Syarikat, China dan Jepun.

    Lee menegaskan provokasi peluru berpandu yang berterusan oleh Korea Utara, termasuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua baru-baru ini dan persediaannya untuk melakukan ujian nuklear menimbulkan ancaman ‘serius’ kepada keamanan di Semenanjung Korea dan masyarakat antarabangsa, menurut kementerian itu.

    Lee berkata, Korea Selatan tetap membuka pintu rundingan dengan Korea Utara sambil memetik ‘inisiatif berani’ Seoul bagi membantu Pyongyang meningkatkan aktiviti ekonominya sebagai balasan kepada langkah penghapusan senjata nuklear.

    Lee Jong-sup. – AFP

    “(Lee) meminta sokongan aktif dan kerjasama negara anggota bagi mendorong Korea Utara menghentikan program nuklearnya dan mengadakan sesi dialog.

    “Jika provokasi nuklear dan peluru berpandu Korea Utara berterusan, keselamatan di semenanjung akan tergugat dan akan menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik secara negatif,” lapor Yonhap memetik kenyataan media kementerian itu.

    Kementerian itu turut memaklumkan wakil dari AS, Jepun, Australia, New Zealand dan Filipina mengecam pelancaran peluru berpandu balistik Pyongyang yang disifatkan sebagai melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ‘mencabar’ keselamatan global.

    Lee juga mengambil peluang menerangkan strategi baharu Indo-Pasifik Seoul yang didedahkan oleh Presiden Yoon Suk-yeol ketika menghadiri beberapa siri perhimpunan berkaitan ASEAN awal bulan ini di Kemboja.

    Strategi itu memberi tumpuan kepada menggalakkan kebebasan, keamanan dan kemakmuran di rantau itu sambil berusaha untuk mengukuhkan ketetapan antarabangsa ‘berasaskan peraturan’ yang dibina berdasarkan nilai sejagat.

    Lee menegaskan bahawa Seoul menganggap ASEAN sebagai rakan kongsi terpenting dalam strategi itu.

    Menteri itu tiba di Kemboja awal minggu ini bagi menghadiri ADMM-Plus, yang berakhir Khamis. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...