SEJONG, 3 OGOS – Pihak berkuasa cukai Korea Selatan melancarkan siasatan terhadap 42 warga asing yang memiliki rumah yang banyak di negara itu, di tengah-tengah usaha untuk mengekang harga kediaman di Seoul dan kawasan sekitar.
Menurut Perkhidmatan Cukai Kebangsaan (NTS), seorang warga Amerika Syarikat (AS) membeli sebanyak 40 buah rumah dengan harga 6.7 bilion won (AS$5.6 juta) sejak 2018, lapor Agensi Berita Yonhap.
Laporan berkenaan mendedahkan warga AS itu menyewa rumah yang dibelinya untuk mengumpulkan wang, tetapi tidak mengisytiharkan pendapatan untuk mengelak daripada membayar cukai.
Dalam kes berasingan, seorang rakyat China yang mempunyai visa pelajar, membeli lapan rumah, juga tidak mengisytiharkan pendapatan sewa yang diperolehnya.
Antara 2017 dan Mei tahun ini, seramai 1,036 warga asing didapati membeli lebih dua rumah di Korea Selatan.
Menurut TNS, daripada 23,167 kediaman yang dibeli rakyat asing dalam tempoh itu, 32.7 peratus tidak diduduki pemilik.
Alasan mereka tidak tinggal di rumah yang dibeli disebabkan “permintaan spekulatif,” tambah NTS. – Bernama