SEOUL, 16 NOV – Polis Korea Selatan menahan lebih 3,000 suspek yang terbabit dalam jenayah seks dalam talian sepanjang tahun lalu dan hampir separuh daripadanya terdiri daripada golongan remaja, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pegawai.
Menurut Agensi Polis Kebangsaan (NPA), sebanyak 3,411 kes penderaan seksual dalam talian dikesan antara November 2024 hingga Oktober tahun ini, dengan 3,557 individu ditahan, termasuk 221 yang ditangkap secara rasmi.
Jenayah membabitkan teknologi palsu asli atau deepfake mencatat peratusan tertinggi iaitu 35.2 peratus, diikuti video seksual kanak-kanak atau remaja sebanyak 34.3 peratus, manakala bahan rakaman haram menyumbang 19.4 peratus.
Hampir separuh daripada keseluruhan suspek, iaitu 1,761 orang, merupakan remaja. Ini diikuti golongan berusia 20-an seramai 1,228 orang, manakala mereka dalam lingkungan 30-an dan 40-an masing-masing mencatat 468 dan 169 orang.
Lebih 90 peratus suspek jenayah deepfake pula terdiri daripada golongan remaja dan mereka berusia 20-an, disebabkan tahap kecekapan mereka menggunakan alat digital, menurut NPA.
Jumlah individu yang ditahan melibatkan jenayah seks dalam talian meningkat 47.8 peratus tahun ke tahun, dengan NPA mengaitkan peningkatan dengan lonjakan jenayah deepfake sejak separuh kedua tahun lalu. – Bernama/Yonhap


