Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S tidak bercadang lawan tarif AS atas dasar ‘hutang sejarah’

    MOSCOW, 20 APRIL – Pemangku Presiden Korea Selatan merangkap Perdana Menteri, Han Duck-soo berkata bahawa Seoul tidak bercadang menentang tarif perdagangan baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), memandangkan hubungan sejarah dan bantuan ekonomi yang pernah diterima daripada Washington terutama selepas Perang Korea, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Perkembangan keupayaan industri kami, kemajuan dalam sektor kewangan, budaya dan pertumbuhan ekonomi banyak dipengaruhi oleh bantuan AS,” kata Han dalam temu bual bersama Financial Times yang disiarkan kelmarin.

    Menurut Han, kerajaan Korea Selatan kini memilih untuk meneruskan dialog dengan Presiden AS, Donald Trump bagi mencari penyelesaian bersama yang menguntungkan kedua-dua negara, berbanding mengambil langkah balas yang bersifat konfrontasi terhadap dasar perlindungan perdagangan Washington.

    Han memaklumkan bahawa beliau berbincang selama 28 minit melalui telefon dengan Trump dan menyampaikan kesediaan Seoul untuk menangani isu lebihan perdagangan dengan meningkatkan import dari AS, termasuk gas asli cecair (LNG) dan pesawat komersial.

    Beliau juga menyatakan keterbukaan Korea Selatan untuk membincangkan halangan perdagangan bukan tarif dan mencadangkan kerjasama diperluas dalam bidang pembinaan kapal tentera laut – sebagai sumbangan terhadap pengukuhan pakatan strategik antara kedua-dua negara. – Bernama

    Pemangku Presiden Korea Selatan Han Duck-soo bercakap semasa taklimat di Kompleks Kerajaan di Seoul pada 24 Mac lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda