SEOUL, 6 NOV – Menteri Pertahanan Korea Selatan berpendapat, pembinaan kapal selam berkuasa nuklear di dalam negara adalah langkah yang munasabah, menurut kementeriannya kepada AFP hari ini, seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata kapal itu akan dibina di AS.
Trump sebelum ini mengumumkan, Korea Selatan akan membina kapal selam berkenaan di Philadelphia, AS, di mana teknologi nuklear merupakan antara rahsia ketenteraan yang paling sensitif dan dikawal ketat.
Kenyataan itu dibuat selepas Seoul mengumumkan, kedua-dua negara telah mencapai persetujuan umum melibatkan pelaburan dan pembinaan kapal susulan pertemuan antara Trump dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung.
Pengkritik berpendapat kenyataan Trump menunjukkan, Washington mungkin menekan Seoul untuk melabur di galangan kapal Philadelphia sebagai pertukaran bagi sokongan Amerika dalam projek kapal selam tersebut.
Namun, Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back berkata kelmarin, adalah wajar untuk membina kapal selam itu di dalam negara, menurut kenyataan kementerian.

Pegawai kanan kementerian pertahanan, Won Chong-dae berkata minggu ini, “adalah berkemampuan untuk membina kapal selam berkuasa nuklear menggunakan teknologi kami sendiri.”
Seoul menjangkakan kapal pertama akan dilancarkan sekitar pertengahan hingga akhir tahun 2030an, sekiranya Korea Selatan berjaya memperoleh bahan api kapal selam melalui rundingan dengan AS dan memulakan pembinaan menjelang akhir 2020an, katanya.
Kenyataannya itu dibuat susulan komen pembantu presiden yang memaklumkan bahawa Seoul telah memohon dan menerima “kebenaran bagi bahan mentah” daripada Washington, tanpa menyebut tentang teknologi kapal selam AS.
Presiden Lee pula menyatakan minggu ini, apabila keupayaan ketenteraan Korea Selatan meningkat, maka “beban pertahanan Amerika di Indo-Pasifik juga akan berkurangan.” – AFP

