SEOUL, 18 JUN – Pegawai Korea Selatan hari ini mengeluarkan arahan kembali bekerja kepada doktor yang menyertai mogok satu hari, sebagai sebahagian daripada mogok yang berlarutan terhadap rancangan kerajaan untuk menambah kemasukan pelajar ke sekolah perubatan, mulai tahun depan.
Sejak Februari, lebih 12,000 doktor pelatih masih mogok di tengah-tengah kebuntuan yang semakin mendalam dengan pegawai kerajaan, yang mahu menambah bilangan doktor di negara ini sehingga 10,000 menjelang 2035.
Ramai yang menolak rancangan itu, mengatakan sekolah tidak mampu mengendalikan peningkatan jumlah pelajar dan juga kualiti perkhidmatan perubatan negara akan terjejas.
Kira-kira empat peratus daripada 36,000 kemudahan perubatan swasta di negara itu, yang dikategorikan sebagai klinik, telah memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka akan menyertai mogok sehari pada hari ini, menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan.
Mogok itu berlaku sehari selepas ratusan profesor sekolah perubatan di empat hospital utama yang bergabung dengan Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) mengumumkan mogok tanpa had, yang menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan dalam perkhidmatan perubatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Korea Selatan, Jun Byung-wang berkata mogok sehari oleh klinik dan mogok oleh profesor perubatan yang bersekutu dengan SNU tidak segera menimbulkan masalah yang ketara dalam perkhidmatan perubatan.
Dia menuduh mogok yang berlarutan itu akan menjejaskan ‘hubungan kepercayaan antara doktor dan pesakit yang telah dibina dalam masyarakat kita untuk jangka masa yang panjang.’
Di bawah undang-undang Korea Selatan, doktor yang mengingkari arahan untuk kembali bekerja boleh menghadapi penggantungan lesen mereka atau hukuman lain. – AP
