SEOUL, 31 OKT – Jambangan bunga putih dan ucapan takziah diletakkan di altar peringatan dan kedai-kedai yang menggantung mesej ucapan takziah menutup perniagaan masing-masing di daerah Itaewon di Seoul hari ini, ketika Korea Selatan meratapi kematian paling dahsyat akibat rempuhan orang ramai.
Altar perkabungan yang sarat dengan kekwa putih juga dibuka di seluruh negara untuk membolehkan orang ramai membakar kemenyan dan memberi penghormatan kepada mereka yang terbunuh dalam rempuhan malam Sabtu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 154 orang kebanyakannya berusia 20an, terbunuh dan 33 yang lain cedera parah.
Presiden Yoon Suk Yeol adalah antara yang pertama memberi penghormatan kepada mangsa, lapor agensi berita Yonhap.
Berpakaian hitam, Yoon dan isterinya Kim Keon Hee mengunjungi altar yang didirikan di Plaza Seoul di hadapan Dewan Bandaraya, meletakkan bunga dan menundukkan kepala bertafakur.
Perdana Menteri Han Duck Soo dan Datuk Bandar Seoul Oh Se Hoon turut memberi penghormatan di altar.

Tragedi itu berlaku Sabtu malam apabila sekumpulan besar pengunjung pesta Halloween memenuhi lorong sempit selebar 3.2 meter di daerah hiburan Itaewon, Seoul.
Seramai 26 mangsa warga asing termasuk lima dari Iran, masing-masing empat dari China dan Rusia, dua dari Amerika Syarikat, dua dari Jepun, dan masing-masing seorang dari Perancis, Australia, Norway, Austria, Vietnam, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan, dan Sri Lanka, menurut pegawai.
Antara yang terbunuh ialah seorang pelajar sekolah menengah rendah dan lima pelajar sekolah menengah, semuanya dari Seoul, menurut kementerian pendidikan.
Lima lagi pelajar sekolah menengah rendah atau sekolah menengah cedera dan dua daripada mereka sedang dirawat di hospital.
Seramai 116 lagi mengalami kecederaan ringan. – Bernama