SEOUL, 5 OGOS – Syarikat-syarikat utama Korea Selatan kini menggaji lebih ramai pekerja berusia 50 tahun ke atas berbanding golongan 20an, mencerminkan penurunan ketara dalam pengambilan pekerja muda di tengah-tengah kelembapan ekonomi, lapor agensi berita Yonhap memetik data industri.
Data penjejak korporat Leaders Index menunjukkan bahawa setakat akhir 2024, pekerja berusia 20an hanya merangkumi 19.8 peratus daripada jumlah tenaga kerja di 124 firma utama berdasarkan jualan, menurun sebanyak 1.2 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
Sebaliknya, peratus pekerja berusia 50 tahun ke atas meningkat sebanyak 0.6 mata peratusan kepada 20.1 peratus, menandakan buat kali pertama sejak 2015, iaitu ketika data ini mula direkodkan, jumlah pekerja yang lebih berusia mengatasi pekerja muda.
Ia juga merupakan kali pertama peratusan pekerja berusia bawah usia 30 tahun jatuh di bawah paras 20 peratus.
Jurang ketara dapat dilihat dalam industri bateri, yang mencatat penurunan sebanyak 9.7 mata peratusan dalam jumlah pekerja 20an sepanjang tiga tahun lalu, manakala pekerja berusia 50 tahun ke atas meningkat 1.2 mata peratusan.
Perubahan serupa turut dilihat dalam sektor teknologi maklumat dan elektronik, dengan jumlah pekerja muda merosot sebanyak 5.4 mata peratusan.
“Disebabkan keadaan ekonomi yang suram, banyak industri mengurangkan pengambilan pekerja baharu, manakala pekerja lama pula menangguhkan persaraan,” kata seorang pegawai dari Leaders Index. – Bernama


