Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan catat suhu musim panas tertinggi dalam sejarah

    SEOUL, 5 SEPT – Korea Selatan mengalami purata suhu musim panas tertinggi sejak rekod sedemikian bermula 50 tahun lalu, hampir dua darjah lebih tinggi daripada purata sejarah, kata agensi cuaca hari ini.

    Dari Jun hingga Ogos, suhu purata di negara itu ialah 25.6 darjah Celsius menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

    Ini adalah angka tertinggi sejak agensi itu menubuhkan pusat pemerhatian di seluruh negara pada tahun 1973, dan 1.9 darjah lebih tinggi daripada purata sejarah untuk musim panas.

    “Sejak pertengahan Jun, suhu kekal lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, walaupun semasa musim monsun apabila suhu biasanya menurut,” kata KMA.

    Ketua KMA, Jang Dong-un, berkata perubahan iklim telah mengubah corak cuaca Korea Selatan.

    “Kami mengalami hujan lebat semasa musim monsun, dan gelombang haba yang berpanjangan serta malam tropika menyebabkan ketidakselesaan dan kerosakan yang ketara kepada orang ramai,” kata Jang.

    “Memandangkan perubahan iklim mengubah ciri-ciri iklim negara kita, Pentadbiran Meteorologi Korea akan berusaha keras untuk mengukuhkan keupayaan pemantauan dan analisisnya bagi keadaan cuaca yang tidak normal.”

    Sebahagian besar dunia sedang mengalami musim panas yang sangat teruk, dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberikan amaran pada bulan Julai bahawa manusia sedang mengalami ‘wabak haba melampau’ dan menyeru tindakan untuk mengehadkan kesan gelombang haba yang dipergiatkan oleh perubahan iklim.

    “Angka yang memecahkan rekod ini tidak mengejutkan sama sekali, kerana ia telah diramalkan awal tahun ini oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia mengenai suhu yang tidak normal,” kata Kim Hae-dong, profesor meteorologi di Universiti Keimyung. – AFP

    Kanak-kanak bermain dengan air pancut di tengah-tengah gelombang panas di Seoul, Korea Selatan, pada 16 Ogos. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda