SEOUL, 29 April – Korea Selatan dan Chile akan mengadakan sidang kemuncak di Seoul pada Isnin bagi meningkatkan hubungan kedua-dua negara ke tahap baharu semasa mereka berusaha menjalin kerjasama berkaitan isu serantau dan antarabangsa, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan para pegawai presiden di sini.
Presiden Moon Jae In dijadualkan bertemu rakan sejawatnya dari Chile, Sebastian Pinera, dalam satu majlis sambutan rasmi yang akan berlangsung di pekarangan pejabat presiden Cheong Wa Dae.
Kedua-dua pemimpin kemudian akan mengadakan rundingan rasmi dan taklimat akhbar bersama bagi mengumumkan hasil perbincangan mereka.
Pinera tiba di sini pada Ahad untuk lawatan negara selama dua hari selepas menghadiri Forum Belt and Road di Beijing.
Beliau adalah pemimpin pertama sebuah negara Amerika Latin yang berkunjung ke Korea Selatan sejak Moon memulakan pentadbirannya.
“Dalam sidang kemuncak kali ini, (kedua-dua pihak) merancang untuk mengadakan perbincangan meluas berhubung kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi substantif dan situasi keselamatan di Semenanjung Korea dan Amerika Selatan,” kata Yoon Do Han, setiausaha kanan Moon bagi perhubungan awam.
Chile merupakan rakan kongsi pertama perjanjian perdagangan bebas (FTA) Korea Selatan.
Menandatangani perjanjian itu pada 2004, Presiden Korea Selatan ketika itu Roh Moo Hyun berkunjung ke Chile dan menjalin hubungan yang “komprehensif dan koperatif” antara kedua-dua negara.
Dalam rundingan dengan Pinera, Moon bercadang untuk berbincang tentang langkah memperbaiki hubungan dua hala, meminta sokongan Santiago terhadap usaha Seoul bagi membasmi senjata nuklear dan mewujudkan keamanan yang berkekalan di semenanjung itu.
Mereka telah mengadakan rundingan satu ke satu di New York pada September lepas di luar sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Presiden Chile itu sebelum ini berkunjung ke Seoul pada 2012 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear. – Bernama