SEOUL, 9 JULAI – Korea Selatan hari ini menghantar pulang enam warga Korea Utara yang diselamatkan di laut awal tahun ini yang meminta untuk pulang ke tanah air, kata Kementerian Penyatuan Seoul.
Empat warga Korea Utara ditemui Mei lalu oleh pihak berkuasa Korea Selatan di Laut Timur – dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Laut Jepun – di atas bot kayu kecil, selepas mereka hanyut ke perairan selatan sempadan maritim de facto.
Pada awal Mac, tentera Korea Selatan juga telah menemui sebuah lagi bot kayu yang membawa dua warga Korea Utara di barat Laut Kuning.
“Kerajaan Korea Selatan menghantar pulang enam rakyat Korea Utara hari ini melalui Laut Timur,” kata Kementerian Penyatuan dalam satu kenyataan.
“Dengan persetujuan penuh semua individu Korea Utara yang terlibat… keenam-enamnya dihantar pulang bersama-sama,” tambahnya.

Rakyat Korea Utara dipercayai telah menyeberangi sempadan de facto secara tidak sengaja dan semuanya telah menyatakan hasrat mereka untuk kembali ke Utara.
Tetapi mereka telah terperangkap di Selatan kerana Pyongyang – yang telah mengisytiharkan Seoul sebagai negara musuh dan memutuskan komunikasi – tidak bertindak balas terhadap pendekatan Seoul mengenai isu itu.
Kedua-dua negara secara teknikalnya kekal berperang kerana Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.
Seorang pegawai Kementerian Penyatuan berkata Seoul dan Pyongyang telah berkomunikasi mengenai penghantaran pulang melalui Komando Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menyelia gencatan senjata. – AP