SEOUL, 1 OGOS – Korea Selatan dan Jepun dijadual mengadakan mesyuarat kedua peringkat ketua pengarah minggu ini untuk membincangkan mengenai permintaan Seoul rentetan cadangan Tokyo untuk menyalurkan air daripada loji tenaga nuklear Fukushima, kata seorang pegawai hari ini.
Rundingan awal berlangsung di Jepun Selasa lalu, bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah susulan selepas Presiden Yoon Suk Yeol menggesa Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida untuk melibatkan pakar-pakar Korea Selatan dalam memantau pelepasan air Fukushima, lapor agensi berita Yonhap.
“Semasa mesyuarat sampingan di sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara di Lithuania, Presiden Yoon juga menggesa Jepun untuk menghentikan pelepasan dengan serta merta jika kepekatan bahan radioaktif di dalam air melebihi tahap yang boleh diterima, dan memaklumkan Korea Selatan dengan segera tentang sebarang perkembangan,” menurut timbalan ketua pertama Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan, Park Ku-yeon.
Sementara itu, kerajaan Korea Selatan masih menunggu jawapan balas daripada Tokyo berhubung surat yang dihantar oleh ketua pembangkang utama Parti Demokratik (DP) kepada Perdana Menteri Kishida, seperti yang disahkan oleh Park.
Pada Jumaat, Lee Jae-myung, pengerusi DP, mengutus surat itu melalui Kedutaan Jepun di Seoul bagi menyatakan “kebimbangan dan bantahan rakyat” terhadap cadangan pelepasan air terbabit. – Bernama