Korea Selatan juara AFC B-23

BANGKOK, 28 JAN – Korea Selatan menjuarai Kejohanan AFC bawah 23 tahun apabila berjaya menewaskan Arab Saudi 1-0 di masa tambahan di perlawanan akhir AFC yang penuh drama kelmarin.

Pasukan Arab Saudi diketahui memiliki benteng pertahanan yang cukup kuat namun berjaya ditembusi pemain Korea Selatan Jeong Tae Wook dengan jaringan kemenangan pada minit ke-113 perlawanan.

Ia merupakan kejuaraan kali pertama buat Korea Selatan dalam pertandingan ini, sekali gus menjadi penutup tirai yang sempurna buat Korea Selatan dalam kempen kali ini apabila mereka terus melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali ke-9 berturut-turut.

Walau bagaimanapun, Arab Saudi selaku naib juara kejohanan AFC juga turut layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara automatik bersama tempat ketiga Australia.

Perlawanan bola sepak antara juara benua yang menakjubkan dan persembahan yang hebat, Korea Selatan menjadi satu-satu pasukan pilihan yang layak ke perlawanan akhir.

Meskipun perlawanan yang menghambarkan pada babak pertama awal perlawanan, pemain Korea Selatan Jeong Woo Yeong berjaya menghidupkan kembali permainan pada minit ke-20 perlawanan.

Pemain penyerang dari kelab SC Freiburg cukup lincah sehingga melepasi pertahanan Arab Saudi tetapi percubaannya gagal kerana berjaya diselamatkan penjaga gawang Arab Saudi.

Sejurus selepas itu, Arab Saudi kembali mengatur serangan apabila Abdullah Al-Hamdan melakukan rembatan tetapi berjaya dihadang.

Korea Selatan hampir menemui jaringan pada minit ke-58, Lee Dong Jun melakukan percubaan dari hantaran sudut tetapi berjaya diselamatkan Al Yami. Perlawanan memasuki masa tambahan dan babak pertama masa tambahan, kedua-dua pasukan gagal menemui jaringan sehingga pada babak kedua perlawanan, Jeong Tae Wook akhirnya berjaya menerobos gawang Arab Saudi pada minit ke-113, jaringan kemenangan Korea Selatan menjulang trofi kejuaraan AFC B-23 2020. – AFP

Reaksi pemain-pemain Korea Selatan ketika meraikan kejuaraan AFC B-23 pada perlawanan akhir menentang Arab Saudi di Stadium Rajamangala, Bangkok. AFP