PHNOM PENH, 16 OKT – Pegawai Korea Selatan dan Kemboja mengadakan pertemuan hari ini bagi menyelaras tindak balas terhadap aktiviti penipuan dalam talian, susulan kematian seorang pelajar Korea Selatan yang dilaporkan diculik dan dipaksa bekerja di pusat penipuan di Kemboja.
Delegasi Korea Selatan mengunjungi ibu negara Kemboja, Phnom Penh, untuk mengadakan rundingan dengan pegawai termasuk Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Industri penipuan dalam talian Kemboja menimbulkan kemarahan rakyat Korea Selatan kerana menggunakan pekerja yang diculik dari pelbagai negara bagi menyasarkan mangsa di seluruh dunia. Pegawai menganggarkan kira-kira 200,000 individu, termasuk kira-kira 1,000 rakyat Korea Selatan, terlibat di pusat penipuan dalam talian di Kemboja.
Pada Ogos lalu, mayat pelajar berusia 22 tahun, Park Min-ho, ditemui dalam sebuah trak pikap di wilayah selatan Kampot, Kemboja. Pihak berkuasa berkata mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas diseksa dan dipukul. Delegasi Korea Selatan berharap rakyatnya yang terlibat dalam penipuan dalam talian di Kemboja dapat dipulangkan, serta mayat Park Min-ho dikembalikan, kata Pengarah Keselamatan Negara Korea Selatan, Wi Sung-lac, pada satu taklimat di Seoul.
Wi sebelum ini berkata pemulangan mayat tertangguh kerana wujud pertikaian berhubung permintaan Korea Selatan untuk bedah siasat oleh pakar patologi dari kedua-dua negara. Beliau berkata kedua-dua pihak mencapai persetujuan dan keputusan rundingan akan diumumkan kemudian hari ini.
Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana 1,000 rakyat Korea Selatan itu bekerja di pusat penipuan dalam talian di Kemboja. Pegawai Korea Selatan percaya ramai telah diperdaya dengan janji pekerjaan berpendapatan tinggi sebelum dipaksa bekerja, walaupun sebahagian lain pergi secara sukarela. – AP


