SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat membuat orang berasa lebih selesa dengan kenderaan tanpa pemandu di jalan raya.
Kenderaan baharu itu tidak kelihatan seperti bas biasa dan mempunyai sisi badan bulat selain tingkap besar yang menjadikannya kelihatan lebih seperti barang mainan berbanding teknologi moden.
Reka bentuk baharu ini melambangkan masa depan,” kata Jeong Seong-gyun, Ketua Pemanduan Automatik di 42dot, firma baharu yang bertanggungjawab dalam teknologi pandu sendiri yang kini dimiliki syarikat Hyundai.
Bas kelihatan seperti ‘Lego’ dan dibuat daripada bahagian komposit untuk membantu mengurangkan kos dan menjadikannya mudah untuk ditiru, katanya.
Ia menggunakan kamera dan laser untuk bergerak di jalan dan bukannya sensor mahal, tambah Seong-gyun.
Matlamat syarikat adalah menghasilkan teknologi kos murah, selamat dan mudah dipindah kepada kebanyakan kenderaan pada masa depan, misalnya trak hantaran.
Buat masa sekarang, dengan pemandu keselamatan memantau perjalanan – bas itu akan memandu sendiri di sekitar jalan 3.4 kilometer di pusat bandar Seoul yang mengambil masa 20 minit.
Orang ramai boleh menaiki bas di dua perhentian yang telah ditetapkan selepas menempah tempat duduk percuma menerusi aplikasi. – AFP