Monday, December 5, 2022
22.3 C
Brunei

-

Korea Selatan lancar roket bahan api pejal

SEOUL, 30 MAC – Korea Selatan berkata ia berjaya melancarkan roket bahan api pejal hari ini dalam apa yang digelarnya perkembangan besar ke arah keupayaan pengawasan di tengah perseteruan yang meningkat dengan Korea Utara.

Pelancaran diadakan enam hari selepas Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua sejak 2017 dalam percubaan untuk mengembangkan senjatanya dan menambah tekanan ke atas pentadbiran Biden di tengah rundingan yang terbuntu.

Roket buatan Korea Selatan itu dilancarkan dari fasiliti ujian dengan dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Suh Wook dan pegawai kanan lain, kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Ia berkata roket bahan api pejal itu mempunyai struktur yang lebih mudah dan lebih murah untuk dibangunkan berbanding roket bahan api cecair. Menurutnya, roket bahan api pejal juga mengurangkan masa pelancaran. Kenyataan berkata Korea Selatan tidak lama lagi akan melancarkan satelit pengintip ke orbit dengan menggunakan roket bahan api pejal.

Korea Selatan buat masa sekarang tidak mempunyai satelit pengintipan tenteranya sendiri dan bergantung pada satelit pengintip AS untuk memantau fasiliti strategik di Korea Utara.

Pada 2020, Korea Selatan mendapat kebenaran AS untuk menggunakan bahan api pejal untuk kenderaan pelancar angkasa lepas, satu sekatan yang dikenakan Washington sebelumnya ke atas sekutu utama Asia disebabkan kebimbangan penggunaannya mungkin membawa kepada pembangunan peluru berpandu lebih besar dan sekali gus mencetuskan perlumbaan senjata serantau.

Pelancaran hari ini diadakan di tengah ketegangan berhubung pelancaran ICBM Korea Utara pada Khamis lalu, yang melanggar moratoriumnya sendiri mengenai ujian senjata besar dan mencabul resolusi Majlis Keselamatan PBB. – AP

Gambar serahan Kementerian Pertahanan Korea Selatan menunjukkan roket bahan api pejal dilancarkan di lokasi tidak didedahkan di Korea Selatan kelmarin. – AP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

ASEAN: Tiga tindakan promosi pembangunan bandar mampan

FUKUSHIMA, 4 DIS – Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk...

Australia dakwa suspek IS

- Advertisment -