SEOUL, 4 MEI – Korea Selatan mengesahkan 52 kes campak setakat tahun ini, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Ahad, menjadikannya jumlah tertinggi dalam tempoh enam tahun susulan kebangkitan semula penyakit berjangkit yang sebelum ini dianggap telah dihapuskan, lapor agensi berita Yonhap.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), sejumlah 52 kes campak dilaporkan di negara itu setakat Khamis lepas, melebihi jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu 49 kes dan merupakan angka tertinggi sejak 2019 yang mencatatkan 194 kes.
Korea Selatan telah diiktiraf sebagai negara bebas campak oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2014, namun jumlah kes dilihat meningkat tahun ini berikutan peningkatan perjalanan ke luar negara dan populasi yang semakin tua.
Daripada 52 kes yang direkodkan, 34 merupakan jangkitan dari luar negara kebanyakannya dari Vietnam manakala 18 lagi berpunca daripada penularan tempatan di rumah atau fasiliti perubatan melibatkan pengembara antarabangsa.
“Peningkatan kes campak di peringkat global berkemungkinan membawa kepada lebih banyak kes import,” kata seorang pegawai KDCA. “Namun risiko penularan meluas kekal rendah kerana kadar vaksinasi yang stabil dan sistem pemantauan yang berkesan.”
Pegawai turut memaklumkan bahawa penyakit lain yang lazim dikaitkan dengan negara kurang membangun seperti batuk kering dan kudis buta turut menunjukkan peningkatan. – Bernama
