SEOUL, 12 MAC – Pihak berkuasa trafik udara Korea Selatan akan melarang penggunaan dron di sekitar Mahkamah Perlembagaan di Seoul mulai esok menjelang keputusan mengenai pendakwaan Presiden Yoon Suk Yeol.
Langkah itu akan berkuat kuasa esok hingga Rabu minggu depan, menurut notis yang dikeluarkan oleh sistem maklumat aeronautik Kementerian Pengangkutan hari ini.
Mahkamah dijangka membuat keputusan mengenai pendakwaan Yoon dalam masa beberapa hari lagi, walaupun tarikh rasmi belum diumumkan.
Polis sebelum ini mengumumkan dalam kenyataan bahawa mereka meminta kementerian untuk menetapkan larangan sementara penggunaan dron di sekitar mahkamah dan kawasan berdekatan seluas 1.85 kilometer sehingga akhir bulan ini.
Polis dijangka mengerahkan lebih ramai anggotanya manakala stesen kereta api bawah tanah serta sekolah berhampiran akan ditutup pada tarikh keputusan yang akan menentukan masa depan politik Yoon berikutan pelaksanaan undang-undang tentera yang hanya berlangsung seketika pada 3 Disember.
Pada Ahad, sehari selepas Yoon pulang ke rumah, ribuan penyokong Yoon berhimpun di sekitar kediamannya untuk membantah pendakwaan itu sambil dikawal ketat polis. – Bernama
