Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan lulus pembinaan dua reaktor nuklear

    SEOUL, 12 SEPT – Korea Selatan meluluskan pembinaan dua reaktor nuklear di pantai timurnya hari ini, membatalkan dasar anti-nuklear pentadbiran terdahulu ketika Seoul berusaha untuk mengembangkan keupayaan tenaga atomnya.

    Suruhanjaya Sekuriti dan Keselamatan Nuklear meluluskan permit untuk membina reaktor Shin Hanul 3 dan 4 selepas ia ‘mengesahkan keselamatan’ projek tersebut di tenggara bandar Uljin.

    “Tiada faktor yang ditemui di tapak pembinaan reaktor yang boleh menyebabkan bencana geologi seperti pemendapan atau runtuhan tanah,” katanya.

    Setiap reaktor akan mempunyai kapasiti 1.4 gigawatt, dan ia dijadualkan siap dibina menjelang 2033.

    Seoul berusaha untuk menghentikan penggunaan tenaga nuklear secara berperingkat di bawah pimpinan Moon Jae-in, yang mana kerajaannya berhasrat menjadikan Korea Selatan bebas nuklear sepenuhnya menjelang 2084.

    Namun, sejak Yoon Suk Yeol memegang jawatan pada 2022, kerajaannya bercita-cita untuk meningkatkan bahagian kuasa yang dijana daripada tenaga nuklear kepada 36 peratus menjelang 2038, berbanding 30 peratus pada masa ini.

    Reaktor baharu itu akan ‘menyumbang kepada pembangunan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dengan menyediakan bekalan tenaga yang bersih dan boleh dipercayai,” kata Sung Tae-yoon, ketua staf dasar Yoon. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda