SEOUL, 20 JUN – Korea Selatan akan menggugurkan soalan-soalan yang dikenali sebagai soalan maut atau rambang daripada peperiksaan kemasukan kolej yang terkenal dengan tahap kesukaran yang tinggi dalam usaha untuk mengurangkan pergantungan terhadap sekolah swasta, kata kementerian pendidikan, hari ini.
Lebih setengah juta pelajar menduduki ujian tahunan yang berlangsung selama sembilan jam, dikenali sebagai suneung, yang memainkan peranan penting dalam menentukan peluang seseorang untuk masuk ke universiti, kerjaya dan juga prospek perkahwinan.
Soalan rambang yang sukar dijawab hanya dengan mempelajari kurikulum yang diajar di sekolah-sekolah negeri, bertujuan untuk membantu membezakan pelajar cemerlang.
Tetapi ia telah mewujudkan perbelanjaan pendidikan tambahan apabila ibu bapa dan pelajar berpusu-pusu ke pusat tuisyen swasta yang mahal dikenali sebagai hagwons untuk mendapatkan kelebihan.
“Saya akan melakukan segala yang boleh sebagai menteri pendidikan untuk mengecualikan soalan-soalan di luar sistem pendidikan awam bagi menjadikan ujian itu ujian yang adil,” kata Menteri Pendidikan, Lee Ju-ho, kelmarin.
Lee memberitahu AFP hari ini bahawa dia akan meneruskan pembaharuan itu, dengan berpegang kepada janjinya. Usaha sebelum ini untuk mengubah sistem tersebut telah gagal, termasuk percubaan tahun ini untuk menggugurkan soalan rambang daripada ujian percubaan.
Kepentingan peperiksaan itu tercermin dalam langkah-langkah luar biasa yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mencegah sebarang gangguan, termasuk menangguhkan pelepasan dan pendaratan di lapangan terbang semasa peperiksaan lisan bahasa Inggeris.
Tekanan ke atas pelajar dalam sistem pendidikan kompetitif Korea Selatan telah dipersalahkan atas kemurungan remaja dan kadar bunuh diri yang merupakan antara tertinggi di dunia. – AFP



