Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan mula baik pulih kapal Tentera Laut AS

    SEOUL, 3 SEPT – Sebuah limbungan kapal Korea Selatan mula menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih untuk kapal Tentera Laut AS hari ini, kali pertama Seoul berupaya melakukan kerja sensitif ini.

    Amerika Syarikat (AS) telah mula mencari limbungan kapal di luar negara untuk digunakan oleh tentera lautnya ketika kebimbangan meningkat terhadap pengembangan armada China dan potensi konflik di Selat Taiwan.

    Di bawah protokol semasa, kapal Amerika yang rosak akibat perang mesti kembali ke kemudahan di wilayah AS untuk dibaiki.

    Kerajaan AS telah lama mempertimbangkan untuk menempatkan operasi pembaikan ke limbungan kapal yang lebih dekat dengan zon konflik kerana ia boleh mempercepatkan kepulangan kapal tersebut bagi tugas aktif.

    Setiausaha Tentera Laut AS, Carlos Del Toro tahun ini melawat limbungan kapal di sekutu keselamatan utama Washington di Asia, iaitu Korea Selatan dan Jepun, sambil berkata AS harus mempertimbang untuk menggunakannya lebih kerap.

    “Jika kita terpaksa berperang, kita akan mempunyai pengetahuan penuh tentang limbungan kapal mana dan negara mana yang sebenarnya boleh kita hantar kapal-kapal ini untuk melakukan pembaikan kerosakan yang diperlukan,” katanya.

    Pembuat kapal Korea Selatan, Hanwha Ocean hari ini berkata ia akan membaik pulih kapal kargo kering dan amunisi Tentera Laut AS seberat 40,000 tan, tugas yang hanya boleh dilaksanakan oleh syarikat yang mempunyai Perjanjian Pembaikan Kapal Induk (MSRA), satu pensijilan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan AS. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda