Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan namakan panda kembarnya sebagai khazanah

    YONGIN, 12 OKT – Korea Selatan mendapat peluang pertama untuk melihat dua ekor anak panda gergasi dengan dekat hari ini dalam sebuah upacara pendedahan nama yang juga merupakan perayaan awal 100 hari sejak kelahiran mereka.

    Kedua-dua ekor panda betina tersebut diberi nama Rui Bao, atau harta bijak, dan Hui Bao, yang bermaksud harta bersinar. Haiwan itu dilahirkan di Taman Hiburan dan Haiwan Everland berhampiran ibu kota Seoul pada 7 Julai, dan sejak itu mendapat banyak perhatian dan kasih sayang.

    Kira-kira setengah juta pencinta panda telah membantu memilih nama haiwan itu melalui undian dalam talian, beberapa peminat bertuah dijemput ke upacara itu hari ini, kata pihak zoo.

    Lee Da-young, seorang pelajar universiti berusia 20 tahun yang hadir, berkata ia merupakan lawatan ketiga-nya ke zoo dalam tempoh dua bulan untuk melihat panda tersebut.

    “Saya sentiasa menyukai panda, jadi saya datang ke Everland minggu lalu dan juga sebulan yang lalu,” kata Lee kepada AFP. “Tetapi saya berbesar hati untuk datang lagi dengan peluang yang begitu hebat ini.

    “Ia lebih comel dalam kehidupan sebenar daripada yang terlihat dalam skrin,” katanya.
    Sejak kelahiran haiwan itu 97 hari lalu, zoo telah memuat naik video yang mendokumentasikan perkembangan panda-panda itu di saluran YouTubenya yang telah mendapat jutaan tontonan.

    “Saya berasa lebih tenang setiap kali saya menonton video haiwan itu,” kata pekerja pejabat berusia 31 tahun, Jung Hyun-ye, yang kerap menonton klip tersebut dua kali seminggu. – AFP

    Penjaga menunjukkan anak panda Rui Bao (kiri) dan Hui Bao (kanan), yang dilahirkan 97 hari lalu di Korea Selatan, semasa upacara pendedahan nama haiwan itu di Taman Hiburan dan Haiwan Everland di Yongin pada 12 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda