SEOUL, 21 OKT – Korea Selatan memanggil duta Vietnam berikutan dakwaan gangguan seksual melibatkan Timbalan Menteri Pertahanan Hanoi semasa lawatan bulan lalu, lapor media tempatan.
Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam, Hoang Xuan Chien, didakwa telah menyentuh seorang kakitangan awam Korea Selatan secara tidak senonoh ketika forum keselamatan tahunan pada September.
Hari ini, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberitahu AFP ia telah mengambil ‘tindakan sewajarnya’ berhubung insiden itu, tetapi tidak dapat mengesahkan panggilan berkenaan. Seorang pegawai berkata, “Pendedahan fakta terperinci adalah terhad bagi menghormati kehendak mangsa.”
Dalam taklimat tertutup dengan wartawan Korea Selatan kelmarin, Kementerian Pertahanan berkata ia ‘mengecam tindakan Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam dan meminta langkah-langkah bagi mengelakkan berulangnya kejadian.’
Timbalan menteri yang dituduh meninggalkan Korea Selatan sehari selepas insiden itu dan atase duta dipanggil seminggu kemudian, menurut laporan media tempatan.
Atase Vietnam dilaporkan menyatakan kesal dan memberi jaminan kepada kementerian Korea Selatan bahawa insiden itu tidak akan berulang. Kedutaan Vietnam di Seoul tidak memberikan sebarang ulasan apabila dihubungi media. – AFP

