SEOUL, 2 APRIL – Korea Selatan berhasrat untuk meningkatkan saiz pasaran ubat haiwan kepada 4 trilion won (AS$2.7 bilion) menjelang 2035 sebagai sebahagian daripada usaha memacu pertumbuhan baharu dalam ekonomi, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, hari ini.
Menurut agensi berita Yonhap, kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan eksport produk perubatan veterinar negara itu sebanyak lima kali ganda kepada 1.5 trilion won serta mewujudkan 15 syarikat farmaseutikal haiwan dengan pendapatan tahunan sekurang-kurangnya 50 bilion won setiap satu, dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Kementerian itu berkata pelan berkenaan dirangka susulan permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk farmaseutikal haiwan, didorong oleh peningkatan pemilikan haiwan peliharaan, penggunaan produk ternakan dan penyakit berjangkit dalam kalangan haiwan.
Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan akan melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berskala besar, untuk memperoleh teknologi teras yang penting bagi pembangunan ubat haiwan baharu, termasuk vaksin untuk penyakit haiwan berjangkit .
Ia juga merancang untuk memperluas infrastruktur bagi industri farmaseutikal haiwan serta melaksanakan langkah-langkah bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan ubat veterinar selain mempercepatkan pembangunan ubat baharu.
Kementerian itu berkata ia akan mengusahakan penggubalan undang-undang khas bagi memperkasa industri berkenaan.
Bagi memperluaskan eksport, kementerian merancang untuk menambah baik garis panduan amalan pembuatan baik (GMP) bagi ubat veterinar agar selaras dengan piawaian global, selain berusaha menyertai Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmaseutikal Antarabangsa menjelang 2038 sebagai sebahagian daripada usaha menembusi pasaran Amerika dan Eropah.
“Kementerian akan berusaha untuk memupuk pertumbuhan industri ubat haiwan dalam jangka sederhana dan panjang bagi menjadikannya sebagai pemacu pertumbuhan baharu kepada ekonomi,” kata Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Song Mi-ryung. – Bernama
