Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan siasat aplikasi beli-belah China

    SEOUL, 8 APRIL – Pengawal selia Korea Selatan sedang menyiasat aplikasi beli-belah China yang sangat popular, Temu, kerana disyaki melakukan pengiklanan palsu dan amalan yang tidak adil, lapor agensi berita Yonhap hari ini.

    Dengan harga yang ada kalanya amat rendah dan pelbagai jenis barangan, Temu telah menikmati pertumbuhan pesat di puluhan negara sejak ia dilancarkan pada 2022 oleh gergasi e-dagang China, PDD Holdings.

    Aplikasi itu juga sedang dipantau dengan lebih ketat di Amerika Syarikat, Eropah dan tempat lain berhubung amalan perniagaan, pengiklanan dan pengendalian data pengguna.

    Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC) Korea Selatan baru-baru ini mula menyiasat Temu untuk menentukan sama ada ia melanggar peraturan e-dagang dan pengiklanan, kata Yonhap, memetik pegawai kerajaan dan industri yang tidak dinamakan.

    FTC juga sedang menyiasat sama ada Temu mematuhi peraturan perlindungan pengguna, tambah Yonhap, memetik aduan mengenai kualiti produk dan isu-isu lain.

    AFP telah menghubungi Temu untuk mendapatkan komen.

    Jurucakap FTC berkata mereka tidak dapat mengulas mengenai kes tertentu, apabila ditanya oleh AFP sama ada suruhanjaya itu sedang menyiasat Temu.

    Laporan siasatan Korea Selatan itu menyusuli kebimbangan serupa yang disuarakan oleh pengawal selia dan penggubal undang-undang di kawasan lain dunia, terutamanya berhubung penggunaan data peribadi firma tersebut. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda